PADA 28 Mac lepas pukul 8.30 malam hampir seluruh dunia termasuklah monumen-monumen seperti Menara Eiffel di Perancis, jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago hinggalah Menara Kuala Lumpur dan bangunan Angkasapuri bergelap selama sejam bersempena dengan kempen Earth Hour yang masuk tahun ketiga tahun ini.
Lebih membanggakan banyak bangunan mercu tanda di 75 negara lain turut serta menjayakan pergerakan Earth Hour itu. Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif bagi menangani isu pemanasan global.
Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap dengan memadamkan semua lampu yang menggunakan tenaga elektrik tepat pukul 8.30 malam waktu tempatan.
Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya bandar rayaSydney pada Mac 2007.
Sasaran kempen ini ialah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global.
"Earth Hour akan menjadi penanda aras bahawa dunia akan membantu menyelesaikan masalah ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF Carter Roberts yang mempelopori Earth Hours.
Pada tahun pertama, sebanyak 2.2 juta warga Australia menyokong kempen tersebut. Malah mercu-mercu tanda utama Australia termasuk Sydney Harbour dan Opera House juga telah digelapkan.
Hasilnya amat membanggakan, bukan setakat mencapai sasaran pengurangan penggunaan tenaga sebanyak lima peratus, malahan dua kali ganda berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 10 peratus.
Justeru selepas dilancarkan semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu di Bali pada 14 Disember lepas, WWF dari seluruh dunia telah berganding bahu berkempen bagi mencapai matlamat tersebut.
Lebih unik lagi projek ini telah menyatukan pelbagai negara, pemilik perniagaan dan kediaman dalam satu misi demi kesejahteraan sejagat.
Namun sana-sini kita sering terdengar mengenai isu perubahan iklim akibat fenomena pemanasan global. Namun apakah sumbangan kita sebagai penduduk bumi bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, penyebab utama fenomena pemanasan global ini?
KLCC turut menyertai Earth Hour
0 comments:
Post a Comment